comscore
Tumpuan :
Nasional

Jerebu: Hanya 1 daripada 68 stesen catat IPU tidak sihat 

Situasi jerebu dalam Malaysia semakin bertambah baik. – FOTO APIMS

KUALA LUMPUR: Kualiti udara seluruh negara semakin bertambah baik dengan hanya satu daripada 68 stesen mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat, pagi ini.

Berdasarkan maklumat dipaparkan laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) yang dikemas kini 8 pagi tadi, hanya Sri Aman, Sarawak merekodkan bacaan IPU tidak sihat dengan 130.

Sementara itu, 62 lagi kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan IPU tahap sederhana antara 52 hingga 97 manakala lima kawasan mencatatkan IPU paras baik antara 22 hingga 46.

Selain itu, kemas kini Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) berhubung situasi jerebu di rantau ini setakat 5.32 petang semalam merekodkan, cuaca kekal kering di selatan Sumatera dan Kalimantan manakala mendung dengan hujan diperhatikan di bahagian utara dan tengah Sumatera, Malaysia dan Singapura.

Bilangan titik panas banyak direkodkan di Indonesia, semalam. FOTO ASMC

Berdasarkan pengawasan satelit, titik panas dikesan di selatan Sumatera serta selatan, tengah dan barat Kalimantan sekali gus penyumbang kepada kualiti udara tidak sihat di kebanyakan kawasan.

Pemantauan satelit NOAA-20 setakat semalam mengesan, 214 titik panas di Kalimantan dengan 36 di Sumatera.

ASMC menyifatkan, situasi titik panas dan jerebu di rantau ini pada tahun ini terburuk sejak 2019 dengan adanya pertembungan antara fenomena El Nino dan fasa positif Dipole Lautan Hindi (IOD) pada bulan ini hingga November.

Keadaan ini dijangka membawa cuaca lebih kering serta peningkatan titik panas dan jerebu rentas sempadan di rantau ini terutama di kawasan terdedah kebakaran.

Namun, ASMC meramalkan, bermula penghujung bulan ini, peningkatan hujan melebihi paras normal serta perubahan angin berkemungkinan akan membantu memulihkan keadaan kawasan titik panas dan jerebu di rantau ini.

Untuk rekod, bacaan IPU antara 0 hingga 50 termasuk dalam kategori paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Loading...
Terkini