PETALING JAYA: Sebanyak empat kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat dengan bacaan tertinggi 169 direkod di Cheras, setakat jam 9 pagi ini.
Menurut laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar, kawasan lain yang merekodkan bacaan IPU tidak sihat adalah Batu Pahat, Johor (158), Bukit Rambai, Melaka (156) dan Larkin, Johor (137).
Sementara itu, bacaan IPU di 60 stesen lain pada tahap sederhana dan hanya empat kawasan Keningau, Sandakan, Kota Kinabalu dan Kimanis di Sabah mempunyai kualiti udara yang baik.
Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan situasi jerebu melanda negara ketika ini tidak akan berpanjangan berikutan tiupan angin kerap berubah.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dilapor berkata jika jerebu berterusan dan keadaan kualiti udara semakin merosot, iaitu bacaan IPU antara 151 hingga 200 melebihi 24 jam, pihaknya bersedia melakukan Operasi Pembenihan Awan.