Tumpuan :
Nasional

Jerebu: 121 titik panas dikesan di Kalimantan, 67 di Sumatera

KUALA LUMPUR: Sebanyak 121 titik panas di Kalimantan dan 67 di Sumatera, Indonesia dikesan Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC), berbanding satu saja di Sabah dan Sarawak setakat semalam, menyebabkan berlaku jerebu rentas sempadan di Sarawak.

Dalam bulan ini sahaja pusat itu melaporkan, sebanyak 961 titik panas dikesan di Kalimantan, 289 di Sumatera, 13 di Sabah dan Sarawak dan satu titik panas di Semenanjung Malaysia.

Menurut portal ASMC, keadaan jerebu serantau terkini adalah cuaca kering berterusan di sebahagian besar wilayah selatan ASEAN semalaman, kecuali bahagian utara Sumatera dan utara Borneo.

“Titik panas kecil dikesan di selatan Sumatera manakala titik panas berkelompok dikesan di selatan Kalimantan.

“Berdasarkan imej satelit pada waktu pagi, keadaan jerebu sederhana dapat diperhatikan di selatan Sumatera dengan banyak stesen melaporkan kualiti udara berada pada tahap tidak sihat bertukar kepada sangat tidak sihat.

“Di selatan Kalimantan, keadaan jerebu sederhana sehingga tebal dapat dilihat berpunca daripada titik panas berkelompok yang berterusan. Kebanyakan kualiti udara kekal pada tahap tidak sihat.

“Berdasarkan imej satelit pagi tadi, jerebu dikesan di selatan Sumatera, dengan banyak stesen kualiti udara melaporkan bacaan tahap tidak sihat kepada sangat tidak sihat dan tahap berbahaya.

“Di selatan Kalimantan pula, tahap jerebu sederhana hingga tebal dikesan berpunca daripada kelompok titik panas yang berterusan dan kebanyakan bacaan kualiti udara kekal pada tahap tidak sihat dan berbahaya,” katanya.

ASMC juga meramalkan beberapa hari akan datang, peningkatan taburan hujan di wilayah berhampiran garisan Khatulistiwa, sementara cuaca kering dijangka berterusan di selatan dan tengah Sumatera, dan selatan Kalimantan.

“Titik panas yang tinggi dan jerebu asap sederhana hingga tebal berkemungkinan berterusan di kawasan yang terdedah kepada kebakaran di kawasan ini.

Risiko jerebu merentas sempadan kekal, dengan angin di selatan ASEAN diramalkan bertiup terutamanya dari tenggara ke selatan dan kadang-kadang dari barat daya,” katanya.

Sementara itu, Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) melaporkan setakat jam 3.30 petang, Nilai, Negeri Sembilan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat iaitu 139 manakala 57 stesen lain di seluruh negara merekodkan IPU tahap sederhana.

Selain itu, 10 stesen udara menunjukkan tahap IPU yang baik.Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

| ARTIKEL BERKAITAN

 

Loading...
Terkini