Tumpuan :
Nasional

Jentera pengurusan banjir diselaras dengan baik dan sentiasa bersedia

FOTO: Jabatan Perdana Menteri

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan persiapan negara membabitkan jentera perkhidmatan awam dalam berhadapan bencana banjir khususnya di Johor berada di tahap baik.

Perdana Menteri berkata, jentera yang terbabit dalam pengurusan banjir sudah bersiap sedia sebelum bencana melanda minggu lalu.

Katanya, jentera penyelamat juga dilihat sangat efisien meringankan masalah rakyat.

“Perkhidmatan kita membabitkan tentera, polis, angkatan pertahanan awam, bomba dan yang lain terpaksa berkhidmat bukan sahaja di Turkiye tetapi juga mangsa banjir di Johor.

“Saya sampai Johor pada hari minggu sebab saya batalkan jadual lain di sini dan saya lihat persiapan baik di mana jentera siap sebelum banjir… ia diselaras dengan baik.

“Jadi saya selaku yang ditugaskan sebagai Perdana Menteri sangat bertuah dan bernasib baik kerana jentera kita begitu efisien meredakan dan meringankan masalah dihadapi rakyat,” katanya, di sini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Pertahanan Awam 2023 dan Jamuan Makan Tengah Hari Perdana Menteri bersama pasukan penyelamat misi bantuan kemanusiaan dan bencana Malaysia ke Turkiye, di sini.

Sehingga pagi tadi, jumlah mangsa banjir di Johor terus berkurangan kepada 39,620 orang daripada 10,862 keluarga setakat jam 8 pagi ini, berbanding 40,129 orang daripada 11,210 keluarga pada 8 malam tadi.

Semua mangsa banjir itu kini ditempatkan di 210 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan daerah yang terjejas banjir.

Loading...
Terkini