PETALING JAYA: Seorang lelaki maut selepas jentera penggelek yang dipandunya terbabas ke dalam gaung di Kampung Cheras Baru, ibu negara petang ini.
Mangsa warganegara India berusia 41 tahun itu disahkan maut di tempat kejadian.
Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.07 petang tadi.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheras dengan bantuan BBP Bandar Tun Razak bersama kekuatan 10 orang bergegas ke lokasi.
Menurut Komander Operasi Kanan, Mohd Khairul Azmi Jaafar, sejurus tiba di lokasi, pihaknya mendapati jentera penggelek itu terjatuh ke dalam gaung sedalam 25 meter.
Pasukan bomba mendapati ada seorang mangsa tersepit dan berjaya dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas.
Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan..
Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.