Tumpuan :
Nasional

Jenguk institut memandu, JPJ ‘jumpa’ tayar haus, masalah brek pada kenderaan latihan

Oleh: Amira Suraini Che Mohamad
 
ARAU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis mengarahkan kesemua tiga Institut Memandu yang ada di negeri itu supaya mempertingkatkan elemen keselamatan pada kenderaan yang digunakan untuk melatih pemandu baru di pusat latihan mereka.

Pengarahnya, Fatimah Mohamed Ali Piah, berkata ia berikutan pelbagai kesalahan telah dikesan dalam Operasi Khas Kenderaan Institut Memandu (Ops OKIM), yang diadakan di sebuah institut memandu di Arau, pagi tadi.

“Daripada 12 motosikal yang digunakan untuk melatih pemandu baru, kita mengesan 8 daripadanya mengalami masalah teknikal berkaitan sistem brek dan bunga tayar yang hampir haus.

“Bagaimanapun tiada tindakan kompaun dilakukan kerana masih dalam tempoh advokasi dan JPJ mengingatkan mereka untuk tidak mengulangi kesalahan sama,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Selain motosikal, sebanyak 5 buah motokar telah diperiksa namun ia didapati memenuhi spesifikasi yang ditetapkan.

JPJ turut memeriksa rekod dan status pemilikan saman bagi kesalahan trafik terhadap 27 pemegang Sijil Pengajar Institut Memandu (SPIM) bagi memastikan tiada pemegang lesen yang bermasalah.

“JPJ akan meneruskan aktiviti advokasi dan penguatkuasaan sedia ada bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai pematuhan kepada peraturan dan aspek keselamatan jalan raya,” ujar Fatimah.

Loading...
Terkini