Tumpuan :
Nasional

JENDELA: 2,395 menara baharu dan 39,983 stesen pemancar siap dinaik taraf

Oleh: Juliana Sharin

KUALA LUMPUR: Usaha menaik taraf pelan jalur lebar di seluruh negara termasuklah di kawasan luar bandar dan pedalaman sedang giat diperluaskan secara berperingkat melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memaklumkan setakat 31 Januari tahun ini, sebanyak 2,395 buah menara baharu daripada 3,884 yang dirancang telah siap dan beroperasi.

Manakala 39,983 stesen pemancar telah siap dinaik taraf daripada 40,214 yang dirancang.

Bercakap di Dewan Rakyat, Fahmi turut menyatakan 3.32 juta premis juga telah tersedia dengan rangkaian gentian optik daripada 4.19 juta yang dirancang.

Kesemua inisiatif yang dirancang itu katanya dijangka siap dan akan beroperasi secara berperingkat pada penghujung tahun 2025.

Tambahnya lagi, kerajaan turut melaksanakan projek penyediaan perkhidmatan internet menggunakan teknologi satelit [Broadband Wireless Access (BWA)] yang telah siap di 839 lokasi di kawasan pedalaman di seluruh negara.

“Selain itu, Kerajaan turut melaksanakan penyediaan infrastruktur jalur lebar menggunakan kaedah Point of Presence (PoP) hab gentian optik. Projek ini melibatkan penyediaan infrastruktur gentian optic berhampiran sekolah dan dapat dinikmati oleh premis kediaman, premis industri serta premis perniagaan yang terletak sekitar sekolah tersebut,” katanya menjawab kepada soalan oleh Ahli Parlimen Selangau, Edwin Anak Banta.

Sehingga 5 Mac 2024, sebanyak 653 PoP daripada 677 PoP bagi Fasa 1 dan 311 PoP daripada 3,693 PoP bagi Fasa 2 telah disiapkan di seluruh Malaysia.

Ini menjadikan 122,701 premis telah tersedia dengan sambungan gentian optik untuk dilanggan oleh komuniti setempat.

Menurut Fahmi lagi, sebagai langkah alternatif, perkhidmatan internet melalui satelit seperti Starlink juga telah tersedia di negara ini.

Perkhidmatan ini terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia dan pengguna boleh melanggan secara terus dengan pihak Starlink atau ejen-ejen yang berdaftar.

“Perkhidmatan internet melalui satelit ini sesuai digunakan di kawasan yang belum mempunyai akses perkhidmatan internet daripada teknologi selular mahupun gentian optic,” tambahnya.

Tegas beliau kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa komited dalam mengenal pasti keperluan dan penambahbaikan perkhidmatan internet di seluruh negara.

Kerjasama serta komitmen Kerajaan Negeri dan semua pihak berkaitan adalah penting bagi memastikan segala perancangan penambahbaikan dapat dilaksanakan dengan lancar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini