Tumpuan :
Nasional

Jenazah Zul Mahat selamat dikebumikan

M Nasir (kiri), Ameng (kanan) dan rakan-rakan memberi penghormatan terakhir buat Allahyarham Zul Mahat yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, jam 12 tengah hari tadi. – FOTO: NSTP

PETALING JAYA: Komposer dan pemuzik, Zul Mahat, 65, yang menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), jam 9.25 malam tadi, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, di sini.

Pengebumian diselesaikan pada jam 12 tengahari dengan kira-kira 200 ahli keluarga, saudara mara dan kenalan yang hadir.

Turut memberikan penghormatan terakhir adalah Datuk M Nasir dan isterinya, Datin Marlia Musa, Datuk Nash, Ameng Spring, Datuk Nora Ariffin, Ruhil Amani Hussein, Neves Pretty Ugly, Betty Banafe, Bade Azmi dan pemuzik, Aznan Alias.

Sebelum itu, Allahyarham Zul Mahat dimandikan dan disolatkan di Masjid Darul Ehsan Subang Jaya, di sini, jam 11 pagi.

Anak saudara kepada Allahyarham Zul Mahat iaitu Shahrul Idzwan, 52, berkata, dia bersyukur dan berterima kasih apabila ramai rakan seperjuangan bapa saudaranya yang hadir memberi penghormatan terakhir.

Shahrul Idzwan

“Ramai yang hadir sejak pagi, malah ada juga yang menghulurkan bantuan. Alhamdulillah. Arwah meninggal dunia di PPUM semalam dan saya dapat panggilan dari pusat dialisis kira-kira jam 9.30 malam.

“Arwah pergi dialisis macam biasa, ia bermula jam 9 malam dan tiba-tiba mempunyai masalah pernafasan. Mereka cuba memberi bantuan dan berjaya, tapi selepas 10 minit, masalah pernafasan kembali.

“Arwah sudah banyak melalui dialisis, tapi kali ini memerlukan bantuan pernafasan kerana jantungnya lemah. Dia sebenarnya sudah setahun ada masalah buah pinggang dan perlu melakukan dialisis,” katanya.

Shahrul berkata, dia sudah menjalankan proses dialisis lebih sebulan dan malangnya, tidak dapat melalui proses dengan baik.

“Kami bersyukur pembedahan sebelum berjaya, namun ajalnya sudah tiba. Arwah tidak berkahwin dan tinggal berseorangan, jadi ditempatkan di sebuah rumah orang tua di Subang Jaya. Alhamdulillah, arwah okay di sana,” katanya.

Semalam, media melaporkan Allahyarham Zul Mahat meninggal dunia di PPUM. Berita sedih itu disampaikan anak saudaranya kepada teman rapat komposer berkenaan, Rosnah Abdul Aziz.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini