Tumpuan :
Nasional

Jenazah Tun Daim Zainuddin selamat dikebumikan

 

Oleh: Siti Khadijah Jaafar.

KUALA LUMPUR: Jenazah bekas menteri kewangan, Tun Daim zainuddin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara 1, ibu negara kira-kira pukul 6.10 petang.

Lebih 100 orang terdiri daripada ahli keluarga dan kenalan rapat mengiringi perjalanan terakhir Allahyarham.

Turut kelihatan, balu Allahyarham, Toh Puan Na’imah Khalid.

Bacaan talkin dipimpin imam Masjid Wilayah, Ustaz Muhamad Afandi Che Harun.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Tun Daim selesai disolatkan oleh anak saudaranya, Amir Imran yang turut disertai kira-kira seribu jemaah di Masjid Wilayah.

Turut serta dalam solat jenazah Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tun Daim Zainuddin, 86, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 8.21 pagi tadi ketika menerima rawatan di Hospital Assunta, Petaling Jaya .

Tun Daim berkhidmat sebagai Menteri Kewangan sebanyak dua kali, iaitu yang pertama dari 1984 hingga 1991 di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di mana beliau memainkan peranan penting dalam mengurus ekonomi Malaysia dan melaksanakan pelarasan struktur.

Allahyarham kemudian kembali untuk penggal kedua dari 1999 hingga 2001, sekali lagi di bawah Dr Mahathir, untuk menangani isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini