Oleh: Fazli Ahmad
PEKAN: Jenazah tiga beradik yang terbunuh selepas motosikal mereka naiki bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 7, Jalan Benta-Lamir dekat Kampung Langgar di sini selamat dikebumikan.
Jenazah Nik Ikram Idwan Nik Mohd Khairul Hisyam,15, serta dua adiknya, Nik Nur Faqihah, 11, dan Nik Ikram Nuqman, 5, dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jambu, di sini kira-kira jam enam petang tadi.
Semua jenazah siap dikafan dan disolatkan di Unit Forensik Hospital Pekan selepas proses bedah sisat selesai dijalankan kira-kira jam empat petang tadi.
Jenazah tiga beradik terbabit kemudian dibawa ke Masjid At-taqwa di sini untuk disolatkan sekali lagi sebelum dikebumikan.
Ibu bapa mangsa Nik Mohd Khairul Hisyam Derahman, 41, dan Norbaizura Mustapa, 33, kelihatan tidak dapat menahan kesedihan ketika proses pengkebumian.
Nik Mohd Khairul Hisyam, ketika ditemui sebelum itu berkata, motosikal itu dibeli Nik Ikram Idwan menggunakan duit sendiri sebulan lalu.
“Arwah belajar di Kemaman, Terengganu dan bekerja sambilan bagi mengumpul wang untuk membeli motosikal itu,’
“Arwah bercadang untuk bertukar bersekolah di Pekan dan sebab itu arwah membeli motosikal untuk kegunaan ke sekolah,”
“Ketika kejadian tiga beradik dalam perjalanan ke kedai di Kampung Lamir untuk membeli ais krim” katanya .
Dalam kejadian kira-kira jam 12:30 tengah hari semalam, tiga beradik terbabit terbunuh selepas motosikal ditunggang Nik Ikram Idwan dari arah Kampung Lamir ke Kampung Langgar terbabas dan memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah MPV.