PASIR GUDANG: Jenazah Syukur Low, lelaki mualaf yang meninggal dunia 6 Mei lalu di Hospital Sultan Ismail (HSI), selamat dikebumikan hari ini.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mutmainah di sini petang tadi.
“Saya berasa lega kerana akhirnya jenazah Syukur Low dapat dituntut daripada Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) petang tadi sebelum dikebumikan sebelum waktu solat Maghrib tadi,” itu luah Mohd Izham Mohd Hisham, 30, jiran arwah.
Mohd Izham sebelum ini berusaha untuk menuntut jenazah Allahyarham, orang kurang upaya (OKU) berusia 44 tahun, bagaimanapun, pihak forensik HSI menyatakan hanya waris boleh menuntut jenazah lelaki berstatus bujang berkenaan manakala kenalan, sahabat atau jiran tidak dibenarkan.
“Kami memang sudah lama tinggal berjiran di Blok 31, Taman Cendana, Pasir Gudang. Syukur Low adalah OKU bisu dan pekak, sebelum ini dia tinggal bersama arwah bapanya yang juga bekas pemandu lori.
Mohd Izham berkata, dia bersyukur apabila dapat mengiringi perjalanan terakhir jenazah
“Tuntutan jenazah dilakukan di Jabatan Forensik pada 4.20 petang.
“Saya dapat memandikan jenazah, Alhamdulillah semuanya sempurna walaupun hari ini memasuki hari ke-52.
“Selepas solat memandikan jenazah, arwah dikafan sebelum ke masjid dan dibawa tanah perkuburan.
“Perjalanan jenazah amat lancar walaupun cuaca agak mendung ketika itu dan saya amat berterima kasih kepada semua pihak yang bekerjasama dan saya yakin roh arwah kini lebih tenang,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Cendana, Shamsul Bahrin Ibrahim berkata, pengebumian lelaki mualaf itu dihadiri kira-kira 30 individu pada jam kira-kira 7 petang.
“Selepas pengurus jenazah Masjid An Nur membawa jenazah ke Masjid An Nur Taman Cendana, jenazah disembahyangkan sebelum ke tanah perkuburan.
“Alhamdulillah walaupun ketika itu waktu lepas kerja, ramai yang datang membantu.
“Kami menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak tertentu yang membawa perkara ini ke arah kebaikan.
“Malah kami juga ingin berterima kasih kepada Jabatan Forensik HSI, Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) serta pihak yang mempermudah urusan terakhir arwah Syukur,” katanya.
Shamsul Bahrin berkata, dia juga menghargai doa serta harapan orang ramai supaya jenazah arwah diurus dengan secepat mungkin.
“Perkara ini bukan saja soal keagamaan malah soal kemanusiaan, Alhamdulillah semua lancar dan selesai,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.