Tumpuan :
Nasional

Jenazah pramugari selamat dikebumikan

CHERAS: Jenazah pramugari Malaysia Airlines (MAS), Norzana Hanim Hamzah, 49, yang meninggal dunia di Narita, Chiba, Jepun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melaka, Hulu Langat, jam 11 pagi, di sini, hari ini.

Suami Allahyarham, Rudy Tarmizi, 42, berkata, isterinya bertolak ke Narita pada 18 Mei lalu dan dijadual pulang ke tanah air pada 20 Mei yang mana hari dia disahkan meninggal dunia.

“Antara perbualan dan pesanan terakhir arwah adalah dia banyak berpesan mengenai kehidupan. Katanya, dalam hidup kena banyak sabar, susah macam mana pun kena bekerja keras dan jimat cermat. Malah, dia juga sentiasa ingatkan mengenai kematian.

“Seperkara lagi, sehingga hujung nyawanya isteri banyak berbakti kepada ibunya yang tak sihat. Pendek kata, dia banyak berkorban masa untuk ibunya.

“Alhamdulillah, proses pengurusan jenazah di Narita sehingga tiba di sini semalam dipermudahkan Allah SWT. Ramai yang mendoakan dan memberikan penghormatan terakhir buatnya,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya yang sudah 15 tahun berkahwin dengan arwah, Allahyarham disifatkan sebagai seorang yang sangat membantu dalam kehidupan selain pekerja yang berdedikasi.

Menurutnya, isterinya sudah berkhidmat dengan syarikat penerbangan itu selama 28 tahun.

“Isteri seorang yang sangat ‘supportive’ dari segi kehidupan. Dia juga berdedikasi dan setia dalam kerja yang mana mula berkhidmat dari 1996 sehingga hari terakhirnya. Boleh dikatakan dia antara pekerja cemerlang.

“Dari segi peribadi, dalam keluarga dia sangat pemurah dan tak berkira. Apa ilmu yang ada dia akan ajar malah dia juga tak lekang dengan senyuman dan ceria. Dia juga seorang yang sangat teliti dan teratur,” katanya.

Menurutnya, dia juga merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menguruskan perjalanan akhir isterinya termasuklah Kedutaan Malaysia di Jepun, pihak MAS dan Datuk Paduka Norazmi Ahmad.

Jenazah Allahyarham selamat tiba di tanah air semalam, sebelum dibawa ke kediaman keluarganya di Batu 9, di sini.

Jenazah kemudiannya disembahyangkan di lokasi sama sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melaka, Hulu Langat.

Terdahulu, MAS mengesahkan seorang pramugarinya meninggal dunia ketika sedang transit di Tokyo, Jepun.

Syarikat penerbangan itu berkata, Norzana sedang bertugas di Tokyo dan dijadualkan mengendalikan penerbangan pulang ke Kuala Lumpur.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini