Tumpuan :
Nasional

Jenazah pemandu lori dibunuh selamat dikebumikan di Kota Tinggi

Oleh: Zahir Senapiah

KOTA TINGGI: Jenazah pemandu lori, Allahyarham Shakirin Mohammad, 28, yang ditemui mati dibunuh dalam bonet keretanya di Jalan Jemaluang-Kahang, Mersing, tengah hari semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Felda Pasak malam ini.

Pengebumian berlangsung sekitar jam 8 malam dengan dihadiri lebih 50 ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan yang hadir bagi memberi penghormatan terakhir.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham disolatkan di Masjid Jamek Felda Pasak selepas solat Maghrib.

Jenazah dibawa dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru selepas selesai proses bedah siasat.

Allahyarham Shakirin, seorang duda tanpa anak, merupakan anak jati Felda Pasak dan tinggal bersama ibu bapanya.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani, dalam kenyataan petang tadi, memaklumkan mayat mangsa ditemui dalam keadaan berpakaian lengkap dengan kesan kelar di leher.

Mayat dijumpai dalam bonet kereta Proton Waja yang diletakkan di tepi semak di Jalan Jemaluang-Kahang.

Siasatan awal polis mendapati motif pembunuhan adalah dendam akibat hubungan mangsa dengan bekas isteri suspek.

Seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan, masing-masing berusia antara 33 hingga 35 tahun, telah ditahan pada jam 4.30 pagi semalam bagi membantu siasatan.

Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini