comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Jenazah Nur Farah akan dikebumikan di Pekan – Abang

 

Oleh: Siti Khadijah Jaafar

SUNGAI BULOH: Jenazah mangsa kes bunuh, Nur Farah Kartini Abdullah, 25 tahun difahamkan akan dikebumikan di Pekan, Pahang, hari ini.

Perkara itu dimaklumkan abang mangsa, Mohd Farriza Amir Abdullah, 28 tahun, kepada Buletin TV3.

“Ya jenazah adik saya akan dituntut hari ini, tetapi saya tak pasti lagi jam berapa. Jenazah akan dikebumikan di Pekan, Pahang. Maklumat lanjut akan saya maklumat nanti setibanya di Jabatan Forensik”, katanya.

Menurut Mohd Farriza, pihak hospital juga akan mengambil sampel DNA ibunya bagi membantu siasatan.

Semalam proses bedah siasat mangsa selesai sepenuhnya pada jam 5.30 petang.

Isnin lalu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mayat wanita itu ditemui di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang , Hulu Selangor kira-kira jam 6 petang.

Pemeriksaan awal mendapati mayat itu dipercayai mangsa yang dilaporkan hilang di Tanjung Malim, Perak pada 11 Julai lalu.

Nur Farah Kartini yang berasal dari Miri, Sarawak dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggannya di Taman Universiti, Tanjung Malim.

Susulan itu, seorang anggota polis yang dipercayai teman lelaki mangsa direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Siasatan terhadap suspek mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini