comscore
Tumpuan :
Nasional

Jenazah Nidza Afham dibawa ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat

Menurut keluarga mangsa, proses bedah siasat dijangka selesai jam 9 pagi esok sebelum jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Felda Bukit Cherakah untuk pengebumian.

Oleh: Hilmi Abdul Malik

SHAH ALAM: Jenazah Allahyarham Muhammad Nidza Afham Mokhtar dibawa ke Hospital Shah Alam bagi proses bedah siasat yang dijangka akan dilakukan malam ini.

Perkara itu selepas beberapa ahli keluarga penyanyi itu dilihat mula berada di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Shah Alam sejak jam 10.20 malam tadi.

Terdahulu, mayat lelaki berusia 23 tahun itu ditemui di Jalan Tepi Sungai, Sungai Kolok berdekatan Sungai Klang, kira-kira jam 7 petang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi Buletin Tv3 mengesahkan perkara itu.

Mangsa yang dilaporkan hilang sejak Selasa lalu dikatakan telah keluar berjoging di Stadium Sultan Sulaiman, Klang.

Bagaimanapun lokasi terakhir mangsa dilaporkan berada di Jambatan Kota yang terletak berdekatan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).

Kelibat mangsa yang berjaya dikesan menerusi rakaman kamera litar tertutup CCTV mulai tular di media sosial sebaik sahaja berita kehilangan mangsa mula mendapat liputan meluas.

Penyanyi berusia 23 tahun itu pernah menyertai program realiti “I can See Your Voice” sebelum melancarkan album pertamanya berjudul “Ternyata Bukan Aku”.

Menurut keluarga mangsa, proses bedah siasat dijangka selesai jam 9 pagi esok sebelum jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Felda Bukit Cherakah untuk pengebumian.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini