Oleh: Kumaran Rajamoney
PARIT: Jenazah dua sahabat yang lemas selepas dihanyutkan arus Sungai Perak, di sini pada petang Isnin lalu selamat dikebumikan tengahari tadi.
Kedua-dua jenazah Muhammad Nazrin Haidar Mohd Hisham dan Muhammad Naufal Aiman Dzulkarnain dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Tepus.

Kedua-dua jenazah dikebumikan bersebelahan kubur datuk masing-masing di tanah perkuburan itu.
Jenazah Muhammad Nazri disemadikan pada jam 1.26 petang, manakala jenazah Muhammad Naufal disemadikan 10 minit kemudian.
Terdahulu, solat jenazah dua sahabat itu diadakan di Masjid Al-Ehsaniah disertai kira-kira 200 jemaah terdiri daripada saudara mara dan penduduk kampung berkenaan.
Pada Isnin, Muhammad Nazri dan Muhammad Naufal dilaporkan hilang dipercayai lemas ketika cuba mendapatkan bola yang terjatuh ke dalam sungai.
Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri Perak menerima laporan mengenai kehilangan mangsa sekitar jam 4.21 sebelum memulakan operasi mencari dan menyelamat.
Mayat Muhammad Nazrin ditemukan pasukan penyelamat pada pukul 4.45 petang, manakala mayat Muhammad Naufal pula ditemui pukul 7 malam tadi (Selasa).
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seri Iskandar untuk dibedah siasat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.