KUANTAN: Jenazah rakyat Malaysia Muhammad Izzat Abdul Wahab yang meninggal dunia ketika dalam tahanan imigresen di Pusat Imigresen Tachileik di Myanmar 14 Oktober lalu, dijangka tiba di negara ini pada 27 Oktober ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang, berkata urusan membawa pulang jenazah
bergantung kepada urusan dokumentasi oleh kerajaan Myanmar.
Jenazah arwah katanya tiba di Yangon hari ini dengan membabitkan perjalanan sejauh 2,000 kilometer dari Tachileik.
“Oleh itu kita harap segala urusan dipermudahkan untuk membawa pulang jenazah Muhammad Izzat ke tanah air yang dijangka pada 27 Oktober ini,” katanya.
Chon Siang ditemui media bersama Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad di di Kampung Peramu, di sini hari ini.
Chon Siang dan Syed Ibrahim mewakili Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan sumbangan Kerajaan Pahang berjumlah RM25,000 bagi membantu membawa pulang jenazah Muhammad Izzat.
Sementara itu, Syed Ibrahim berkata, kerajaan negeri bukan sahaja menyumbang RM25,000,sebaliknya turut membantu dalam urusan pengebumian yang dijadualkan di Kuantan.
Katanya, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menyediakan van jenazah sebaik tiba di Lapangan terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk membawa jenazah ke Kuantan.
“Urusan pengebumian akan diuruskan kerajaan negeri melalui JAIP bagi meringankan bebankeluarga mangsa,” katanya.
14 Oktober lalu, Muhammad Izzat, 28, maut dalam tahanan imigresen Myanmar selepas berjaya diselamatkan daripada dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia di negara berkenaan.
Difahamkan, kos membawa pulang jenazah mangsa dari Myanmar melebihi AS$6,000 (RM28,440) atau lebih.