comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Jenazah Muhammad Akmal selamat dikebumikan di Muar

MUAR: Jenazah Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, yang maut dalam kemalangan mengorbankan tiga pelajar UiTM Dungun malam tadi, selamat dikebumikan, 5.15 petang ini.

Jenazah arwah yang tiba di rumahnya dari Dungun Terengganu, jam 4.20 petang sebelum itu disolatkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan Islam Kampung Parit Baru, Batu 18, Air Hitam di sini.

Lebih 200 orang terdiri ahli keluarga dan penduduk kampung mengiringi jenazahnya.

Suasana sedih dengan tangisan kedengaran daripada ahli keluarga allahyarham.

Terdahulu solat jenazah dijalankan di rumah allahyarham yang menjadi persinggahan terakhir selepas Asar.

Dalam kejadian pada 7.35 malam semalam, tiga pelajar UiTM Kampus Dungun itu yang menunggang dan membonceng motosikal maut manakala seorang lagi rakan mereka cedera selepas dirempuh kereta Honda CRV dipandu seorang wanita berhadapan kampus tersebut.

FOTO: NSTP

Sementara itu, bapa arwah Md Tukirin Saringat, 60, sayu melihat keranda anaknya dimasukkan ke liang lahad.

Dia dilihat beberapa kali mengesat air mata walaupun cuba menahan kesedihan susulan kejadian menimpa ahli keluarganya.

Sejurus dikebumikan, adik arwah, Muhammad Faiq Syahmi, 18, diberi peluang membaca talkin dalam tersekat-sekat sambil menitis air mata.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini