Tumpuan :
Nasional

Jenazah Muhaini Mahmud dikebumikan

Datuk Dr Mahmud Mohd Nor (kanan) bersama isteri, Tan Sri Dr Sharifah Hapsah (tengah) dan cucu mereka yang juga anak Allahyarhamah Muhaini Mahmud pada pengebumian di Tanah Perkuburan lslam Jalan Ampang. – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Jenazah peserta wanita kejohanan triathlon, Ironman Langkawi Malaysia, Muhaini Mahmud, 44, dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang di sini, kira-kira 2.30 petang.

Allahyarhamah juga adalah pengasas bersama platform penyediaan perkhidmatan penjagaan bayi, Kiddocare Sdn Bhd.

Terdahulu, jenazah Muhaini yang lebih dikenali sebagai Mui, dibawa menggunakan helikopter dari Langkawi ke Padang MINDEF, Jalan Padang Tembak, kira-kira jam 9 pagi, sebelum disolatkan di Masjid UTM.

Anak kepada Datuk Dr Mahmud Mohd dan tokoh pendidikan, Tan Sri Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin itu meninggal dunia semalam selepas ditidurkan bagi menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), susulan lemas dalam kejohanan triathlon Ironman di Langkawi, Sabtu lalu.

Allahyarhamah turut dikenali sebagai seorang aktivis dalam memperkasa peranan wanita dan keluarga melalui teknologi serta mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang korporat dan dan menubuhkan Kiddocare bersama sahabatnya, Nadira Yusoff.

Rahman hadir pada pengebumian Allahyarhamah Muhaini di Tanah Perkuburan lslam Jalan Ampang.  Foto: NSTP

Bekas suaminya, Rahman Husin berkata, Muhaini aktif bersukan seperti renang dan berbasikal sejak tiga tahun lalu.

“Arwah memang kerap menyertai triathlon sejak beberapa tahun lalu. Namun bagi kejohanan Ironman, saya tidak tahu adakah ini penyertaannya yang pertama atau sebaliknya.

“Sepanjang tempoh aktif menyertai triathlon, dia sering menjalani latihan dan tidak berdepan masalah kesihatan,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, di sini, hari ini.

|ARTIKEL BERKAITAN

Meskipun sudah berpisah, Rahman berkata, hubungan dengan bekas isterinya itu sentiasa baik dan mereka kerap berhubung bagi berbincang pelbagai perkara terutama mengenai anak, Mateen Malik yang berusia tujuh tahun.

“Kami kerap berhubung dan kali terakhir saya berhubung dengannya pada Jumaat lalu. Apabila dimaklumkan mengenai kejadian itu, saya panik dan terkejut.

“Bagi saya, arwah adalah seorang yang baik hati, ibu yang baik, selalu mengutamakan anak serta keluarga dan tidak pernah ragu-ragu untuk membantu rakan-rakan.

“Saya sudah memaklumkan mengenai pemergian arwah kepada anak dan dia memahami ibunya sudah tiada,” katanya.

Kira-kira 100 orang terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan Allahyarhamah termasuk beberapa selebriti popular hadir di tanah perkuburan berkenaan.

Antaranya Nora Danish bersama suami, Nedim Nazri Aziz; Datuk Jovian Mandagie serta isteri, Datin Nina Sabrina Ismail Sabri dan Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

 

Loading...
Terkini