
JASIN: Jenazah lima sekeluarga yang rentung dalam tragedi kebakaran di Kampung Berangan Enam, Umbai di sini, Khamis lalu dituntut ahli keluarga di Hospital Jasin, petang ini.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata, pihaknya menerima hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) daripada Jabatan Kimia Johor yang mengesahkan identiti semua mangsa berkenaan.
Lima mangsa terbabit ialah Laila Fathinah Mustapa, 37, dan empat anaknya, Nur Damia Batrisyia Abdullah, 13; Izz Daffa Hafizuddin, 7; Nur Dalilah Khadijah, 6, dan Izz Danish Fathi, 4.
“Proses pemadanan DNA selesai sepenuhnya hari ini dan hasil ujian itu kita serahkan kepada pihak forensik Hospital Jasin.
“Semua jenazah ini boleh dituntut oleh keluarga untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi di sini.
Terdahulu, ujian DNA terhadap lima beranak itu terpaksa dilakukan berikutan keadaan mangsa yang rentung kira-kira 80 peratus.
Jenazah lima beranak itu dituntut ketua keluarga mangsa, Muhammad Khairuddin Sa’ari, 35, satu-satunya ahli keluarga yang terselamat dalam tragedi menyayat hati itu kira-kira 7.05 petang tadi.
Jenazah pertama dibawa keluar jam 6.20 petang sebelum selesai dituntut sepenuhnya 50 minit kemudian dengan dibawa menaiki lima van jenazah berasingan.
Muhammad Khairuddin yang mengalami patah kaki akibat kemalangan jalan raya pada 30 Januari lalu dilihat tenang sepanjang proses itu berlangsung.
Jenazah dibawa ke Masjid Baiturrahman Kampung Berangan Enam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Wakaf Haji Johari Bakar di kampung berkenaan selepas Isyak.
Media sebelum ini melaporkan seorang wanita hamil lima bulan bersama masing-masing dua anak lelaki dan perempuannya rentung dalam kebakaran rumah sewa mereka di Kampung Berangan Enam, Umbai dalam kejadian sekitar 1.30 pagi Khamis lalu.
Bagaimanapun Muhamad Khairuddin terselamat selepas sempat merangkak keluar menerusi tingkap sambil dibantu jiran.
Jenazah Laila Fathinah ditemui di bahagian serambi rumah, manakala empat anaknya di beberapa lokasi berhampiran jeriji pintu rumah berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.