Tumpuan :
Nasional

Jenazah lima beranak disemadikan dalam satu liang

Jenazah lima beranak yang maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 65 Jalan Pekan-Nenasi-Rompin tiba untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nenasi Pantai di Pekan. – Foto NSTP

PEKAN: Jenazah lima sekeluarga yang maut dalam nahas di Kilometer 65 Jalan Pekan-Nenasi-Rompin, Pekan lewat petang semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Nenasi Pantai, di sini pada jam 1.10 tengah hari, hari ini.

Jenazah Allahyarham Hamzah Zahari, 53, bersama isterinya, Rahimah Awang Muda, 38, serta tiga anak mereka, Ainul Mardhiyah Hamzah, 10; Muhammad Luqman Nur Hakim, 8; dan Muhammad Lutfi, 4 dikebumikan dalam satu liang.

Terdahulu, jenazah lima beranak itu dimandi dan dikafankan di Hospital Pekan, sebelum dibawa ke Masjid Nenasi, untuk solat jenazah.
Mereka dibawa dengan menaiki lima van jenazah dan tiba di masjid pada jam 5.30 pagi dari Hospital Pekan.

Lebih 200 orang hadir pada pengebumian termasuk ahli keluarga, saudara mara dan sahabat serta penduduk kampung.

Dalam nahas jam 7 malam itu, kereta jenis Proton Wira yang dinaiki keluarga terbabit dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina dinaiki dua individu.

Siasatan awal polis mendapati nahas berlaku apabila kereta dipandu Hamzah sedang dalam perjalanan dari arah Rompin menghala ke Nenasi, Pekan, manakala Grand Livina yang dipandu lelaki berusia 51 tahun pula dari arah Kuantan menghala ke Rompin.

Setiba di lokasi, Proton Wira dinaiki keluarga terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung Nissan Grand Livina.

Akibat perlanggaran itu, lima individu yang menaiki Proton Wira terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu lelaki serta penumpang wanita berusia 43 tahun dalam Nissan Grand Livina pula mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Rompin untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini