Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid
BAGAN DATUK: Jenazah penyanyi legenda negara, Datuk M Daud Kilau selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Balai Baroh, Bagan Datuk kira-kira jam 2.30 tadi.
Upacara pengebumian beliau dihadiri hampir 200 ahli keluarga, saudara-mara, sahabat handai dan juga rakan-rakan artis.
Jenazah beliau tiba di tanah perkuburan tersebut kira-kira jam 1.55 tengah hari dan sebaik tiba, jenazah terus dibawa ke liang lahad yang sudah tersedia di tengah-tengah kawasan perkuburan.
Sebelum itu, jenazah disolatkan di Masjid Tuminah Hamidi, Bagan Datuk, dihadiri kira-kira 400 jemaah dan selesai pada jam 1.40 petang.
Ahli keluarga yang hadir dilihat sayu ketika upacara pengebumian yang berlangsung kira-kira 30 minit itu.
Datuk M. Daud Kilau kembali ke rahmatullah pada jam 4.46 petang semalam di Hospital Teluk Intan pada usia 85 tahun.
Allahyarham Datuk M. Daud Kilau meninggalkan seorang isteri, Datin Rohani Awang Ngah 66 tahun, 2 orang anak, Noraini Muhammad Daud dan Ahmad Zaini Muhammad Daud serta 9 orang cucu dan 2 orang cicit.
Beliau meninggal dunia akibat kencing manis, darah tinggi dan masalah jantung.
Jenazah dimandikan di hospital seterusnya dibawa pulang ke rumah beliau di Kampung Sungai Balai Baroh, Bagan Datuk malam tadi.
Allahyarham Datuk M. Daud Kilau yang dilahirkan di Bagan Datoh, Perak aktif dalam bidang seni selepas menjuarai Bintang Radio di Singapura pada 1968 mendendangkan lagu Musalmah Manis dan Joget Hitam Manis.
Pada 1985, Allahyarham Datuk M. Daud Kilau menjuarai pertandingan Pesta Dendang Rakyat kategori nyanyian asli.
Selain Cek Mek Molek dan Sirih Pinang, Datuk M. Daud Kilau popular dengan lagu Anak Derhaka, Gila Judi dan Pening yang dirakam bersama Ezlynn pada 2003.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Jenazah Datuk M Daud Kilau tiba di Masjid Tuminah Hamidi
- [VIDEO] M Daud Kilau meninggal dunia
- Jenazah M Daud Kilau dibawa pulang ke Bagan Datuk
- PM ucap takziah kepada keluarga Allahyarham M Daud Kilau
- Kematian M Daud Kilau kehilangan besar industri kreatif – SENIMAN
- Pemergian satu kehilangan buat industri muzik negara – Freddie Fernandez