Tumpuan :
Nasional

Jenazah Koperal (U) Mohd Syuib Bidin selamat dikebumi

KEMAMAN: Jenazah Koperal Udara (U) Mohd Syuib Bidin, selamat dikebumikan mengikut istiadat ketenteraan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Kapur Binjai, Kemaman kira-kira jam 12.30 tengahari tadi.

Terdahulu jenazah dibawa dengan Helikopter EC75 milik Tentera Udara Diraja Malaysia(TUDM) dari Kem 4 Rejimen Artileri Diraja Gemas dan mendarat di Kolej Vokasional Kemaman, kira-kira jam 10.40 pagi.

Artikel berkaitan: Anggota TUDM maut dua parah ketika latihan

Jenazah kemudiannya dibawa ke Masjid Jamek Binjai untuk disolatkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan dengan turut diiringi Asisten Ketua Staf J3, Markas Angkatan Bersama, Mejar Jeneral Datuk Nur Hafis Abdul Karim.

Jenazah arwah Mohd Syuib ditalkinkan oleh Pegawai Waran II, Osman Shahruddin dari Kem TUDM, Kuantan.

Nur Faziera Izam 29, isteri Allahyarham, dan bapanya bagaimanapun enggan ditemu bual selepas pengkebumian selesai.

Mohd Syuib yang juga jurulatih di Institut Pengajian Pentadbiran Dan Pengurusan (INSTAR) Pangkalan Udara Sendayan, meninggal akibat parah selepas bom lempar meletup ketika menjalani latihan menembak senjata dan bom lempar di Tapak Latihan Grenade Asas, Kem Syed Sirajuddin, Gemas, kira-kira 12.10 tengahari semalam.

Mohd Syuib disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Segamat, Johor kira-kira jam 5.45 petang.

Selain Allahyarham, turut maut dalam kejadian itu adalah Laskar Udara I Mohd Iqmal Masdi, berusia 22 tahun berasal dari Lenggeng, Negeri Sembilan.

Menurut kenyataan Markas Tentera Udara, Mohd Iqmal yang juga penuntut Kursus Pembantu Pertahanan (KPP) Kelas 1 Siri 78/23 di INSTAR, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang lagi mangsa, Koperal Udara Khairuzaman Lokman, 35, dari Kluang, Johor, yang juga jurulatih di INSTAR kini dirawat di Hospital Segamat.

Loading...
Terkini