comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Jenazah Koperal Mohammad Nasri dikebumikan mengikut istiadat ATM

Oleh Selwam Arjunan

KEPALA BATAS: Jenazah anggota tentera, Koperal Mohammad Nasri Mohd Nasib yang dilaporkan hilang sebelum ditemukan meninggal dunia di Hutan Simpan Royal Belum dikebumikan, petang tadi.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Pulau Mertajam di Penaga, di sini, mengikut istiadat pengebumian Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Terdahulu, jenazah Mohamad Nasri, 33, tiba di Masjid Pulau Mertajam kira-kira jam 5.30 petang diiringi ibunya Fadzilah Abu Bakar, 55, dari Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, Perak.

Proses bedah siasat dijalankan di hospital itu sebelum jenazah dibawa pulang ke kampung halamannya.

Kira-kira 300 orang termasuk pegawai dan anggota pasukan ATM selain anggota keluarga dan penduduk kampung bersama-sama menunaikan solat jenazah.

Suasana hiba dirasai ketika Panglima Divisyen Ke-Empat Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Anuar Abdul Wahab menyampaikan Jalur Gemilang kepada isteri Allahyarham, Nurhayatul Husna Abdul Muttalib pada penghujung istiadat pengebumian itu.

Allahyarham meninggalkan balu Nurhayatul Husna, 30, dan dua orang anak, Muhammad Aakif Rizqi, 4, dan Nur Afifah Raisha, dua tahun.

Sementara itu, ibu mangsa, Fadzilah Abu Bakar, 55, berkata mereka sekeluarga reda dengan kejadian menimpa anak tunggalnya dan berharap siasatan dijalankan secara terperinci serta telus berhubungan kematiannya.

“Saya reda dan serahkannya kepada Allah kerana kalau saya tidak reda dengan pemergian arwah, saya mungkin tidak boleh teruskan kehidupan ini,” katanya sambil menahan sebak.

Beliau berkata kali terakhir Muhamad Nasri menghubunginya beberapa jam sebelum dilaporkan hilang pada Jumaat lepas dan ketika itu Allahyarham berbualnya dengan seperti biasa.

Ujarnya, Allahyarham berkhidmat dalam pasukan ATM selama 12 tahun dan memang sangat berminat dalam pasukan tentera kerana mahu mengikut jejak langkah arwah ayahnya yang juga anggota tentera.

Sebelum ini dilaporkan, mangsa yang merupakan anggota dari Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Seri Bentong, Pahang dilaporkan hilang ketika menjalankan operasi di kawasan pedalaman Hutan Simpan Belum pada Jumaat lalu dan mayatnya ditemukan kira-kira jam 10.15 pagi Rabu.

Loading...
Terkini