comscore
Tumpuan :
Nasional

Jenazah Komposer Wan Zul Selamat Dikebumikan

| Oleh: Ezzuan Ahmad

KEMAMAN: Jenazah komposer terkenal, Allahyarham Wan Zul atau nama sebenarnya, Che Wan Zulkifli Che Wan Abdul Ghani, 61 tahun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kijal pada jam 1.00 tengahari tadi.

Terdahulu jenazah Allahyarham dibawa ke rumah anak perempuannya di Kampung Baru Kijal pada jam 10.30 pagi sebelum di bawa ke Masjid Jamek Kampung untuk disembahyangkan.

Suasana hiba menyelubungi kawasan perkuburan apabila beberapa ahli keluarga dan sahabat dilihat sebak ketika jenazah diturunkan ke dalam liang lahad.

Menurut anak Allahyarham, Che Wan Nur Adli Che Wan Zulkifli, 31 tahun, bapanya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, ICU, Hospital Kemaman sejak Ahad minggu lalu selepas demam dan batuk.

Dia kemudian terpaksa diberikan bantuan alat pernafasan dan terpaksa ditidurkan pada keesokan harinya selepas tahap kesihatannya merosot.

Sementara itu bekas pemain dram kumpulan Iklim, Kamaruddin Ibrahim berkata, pemergian Allahyarham amat dirasai sahabat, apatah lagi Allahyarham antara individu yang bertanggungjawab menaikkan nama kumpulan Iklim satu ketika dulu.

Allahyarham Wan Zul meninggalkan seorang balu, Tengku Siti Famah dan dua anak iaitu Che Wan Norsyikin dan Che Wan Noradli.

Allahyarham dikenali sebagai pencipta lagu kumpulan Iklim menerusi album pertama, Satu Kesan Abadi.

Selain lagu Suci Dalam Debu, beberapa lagu dari kumpulan Iklim ciptaan Wan Zul terus diminati hingga kini antaranya, Aduhai Seribu Kali Sayang, Kerana Takdir dan Biografi Cinta Luka.

Loading...
Terkini