comscore
Tumpuan :
Nasional

Jenazah Komander Muhammad Firdaus akan terus dibawa ke Masjid Jamek Sungai Nibong Besar

GEORGE TOWN: Jenazah Komander Muhammad Firdaus Ramli, 44, yang terkorban dalam nahas dua helikopter bertembung di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut di Perak, semalam akan dibawa terus ke Masjid Jamek Sungai Nibong Besar, di sini atas permintaan keluarga.

Menurut adik ipar Allahyarham yang hanya mahu dikenali sebagai Lina memaklumkan jenazah akan dibawa ke masjid sebaik segala urusan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, Perak selesai.

“Kita tidak tahu berapa lama lagi urusan (bedah siasat) akan berjalan di Ipoh jadi keluarga mahu jenazah terus dibawa ke masjid sebelum pengebumian,” katanya ringkas di sini, hari ini.

Terdahulu media melaporkan, proses bedah siasat semua mangsa nahas helikopter TLDM terhempas di Lumut dijangka selesai jam 2 petang.

Tinjauan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Sungai Nibong di sini mendapati anggota pasukan TLDM sedang membuat persiapan seperti memasang khemah di lokasi di situ dengan kerja-kerja menggali liang lahad selesai sebelum tengah hari tadi.

Jarak antara tanah perkuburan dengan kediaman keluarga Allahyarham Muhammad Firdaus di Pulau Jerejak di sini terletak hanya sejauh kira-kira dua kilometer.

Difahamkan proses persiapan pengebumian Allahyarham di Masjid Jamek Sungai Nibong Besar telah mula dijalankan oleh petugas dari TLDM dan kariah masjid berkenaan sejak jam 7 pagi tadi.

Semalam media melaporkan, dua helikopter iaitu Pesawat HOM (M503-3) membawa empat kru dan tiga penumpang dan Pesawat Fennec dinaiki tiga kru terhempas selepas bergesel di udara di Pangkalan TLDM Lumut pada jam 9.32 pagi.

Kejadian itu mengorbankan semua mangsa yang ketika itu sedang menjalani raptai perbarisan Sambutan Hari TLDM ke-90 yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini