KLANG: Jenazah Allahyarham Datuk Seri Johari Harun yang terbabit dalam nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, kelmarin, akan diserahkan kepada waris, esok.
Difahamkan, jenazah Allahyarham akan dituntut isterinya di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, dan dijangka dibawa ke Masjid Jamek Ar-Rahimiah pada jam 10 pagi.
Menurut kenyataan Pejabat Datuk Seri Johari, solat jenazah akan dilakukan di masjid berkenaan kira-kira jam 12 tengah hari.
Jenazah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang itu kemudian akan dibawa ke Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Fasa 2, Batu Caves, untuk dikebumikan.
Majlis pengebumian dijangka dilakukan selepas solat Zuhur.
Johari, 53, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelangai antara 10 mangsa tragedi pesawat berkenaan.
Allahyarham antara enam penumpang bersama dua juruterbang pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas ketika dalam perjalanan dari Langkawi ke Subang.
Media sebelum ini melaporkan, ketokohan dan pengalaman luas dimiliki Johari membolehkan beliau dipilih menjadi sebahagian daripada 10 Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Pahang, walaupun kali pertama bertanding mewakili Barisan Nasional, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Johari menang kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).