Tumpuan :
Nasional

Jenazah ibu Chef Wan selamat disemadikan

Chef Wan memuat naik hantaran Instagram (IG) memaklumkan jenazah ibunya selamat disemadikan di di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Baqi Cyberjaya 10, Cyberjaya, Selangor. Foto IG Chef Wan

KUALA LUMPUR : Jenazah Noraini Abdullah, iaitu ibu chef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Baqi Cyberjaya 10, Cyberjaya, Selangor.

Berkongsi maklumat itu menerusi hantaran di Instagram (IG), Chef Wan memaklumkan urusan pengebumian ibunya lancar.

“Alhamdulillah, emak selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cyberjaya 10. Segala urusan daripada dimandi dan dikafankan, semuanya lancar.

“Saya cuba menahan air mata menitis dari masjid hinggalah ke tanah perkuburan, tetapi apabila talkin dibaca, akhirnya berderai air mata saya,” luahnya.

Tambahnya, berat rasa hati meninggalkan rumah baharu yang menjadi persemadian ibunya itu.

“Saya menjadi orang terakhir yang meninggalkan kubur emak kerana saya mahu mengambil masa bersendirian bersamanya.

“Berat sungguh kaki mahu meninggalkan emak di tanah perkuburan tadi seorang diri… Berjurai lagi air mata saya.

“Namun, seperti kelazimannya, segala-galanya sudah menjadi sebahagian daripada sejarah saya.

“Moga roh emak diampuni Allah dan diletak bersama orang beriman. Moga emak tenang di sana,” katanya.

Allahyarham Noiraini atau lebih dikenali sebagai Che Ani meninggal dunia pada usia 93 tahun di Hospital Gleneagles, Jalan Ampang, di sini, pada jam 6.20 pagi tadi.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir selepas 10 hari dirawat akibat penyakit kanser dan Alzheimer.

Loading...
Terkini