
TANAH MERAH: Polis tidak menolak kemungkinan Hud Aryan Mohd Nor Hafifi berusia 19 bulan terjatuh di kawasan anak sungai di hadapan rumah neneknya sebelum dibawa arus.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, mayat mangsa ditemui tersangkut di pokok di tebing sungai Kampung Kerila kira-kira tiga kilometer dari rumah neneknya.
“Alhamdulillah operasi mencari dan menyelawat (SAR) akhirnya berjaya menemui mangsa dan mayat dihantar ke Hospital Tanah Merah (HTM) untuk bedah siasat.
“Setakat ini kita mengklasifikasikan sebagai kes orang hilang dan mati mengejut,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Difahamkan, jenazah Hud Aryan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Tiga sekitar jam 11 malam ini.
Terdahulu media melaporkan, pencarian Hud Aryan yang dilaporkan hilang sejak malam kelmarin, berakhir apabila mayatnya ditemui terlekat di pokok di tebing sungai di Kampung Kerila jam 4.15 petang tadi.
Penemuan mayat mangsa itu selepas 45 jam kanak-kanak terbabir dilaporkan hilang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.