PUTRAJAYA: Bedah siasat jenazah pendaki Malaysia yang juga kakitangan Petronas Chemicals, Gebeng, Kuantan, Hazlami Ahmad Nizam yang meninggal dunia di pergunungan Mera Peak, Nepal, Khamis lalu belum dapat dilakukan.
Pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia (Malawakil) di Nepal ketika dihubungi berkata, hospital menerima banyak mayat dan prosesnya bergantung kepada keadaan semasa yang ditentukan pentadbiran hospital.
Menurutnya, setakat ini Malawakil masih belum menerima maklumat sama ada proses bedah siasat dapat dijalankan hari ini.
Katanya, pihak berkuasa Nepal juga sudah mengarahkan pihak keluarga Hazlami untuk membuat laporan polis berkenaan kematian sebelum bedah siasat dijalankan oleh hospital.
“Pada pertemuan bersama Malawakil yang diadakan semalam, waris Hazlami juga menyatakan hasrat agar urusan mandi dan mengkafankan jenazah diadakan di Kathmandu, sebelum dibawa pulang ke tanah air,” katanya.
Malawakil juga memaklumkan, urusan itu akan dilaksana oleh pihak insurans bersama agensi yang dilantik dan pihak pengurusan masjid terdekat.
Katanya, jenazah akan diterbangkan ke tanah air dan untuk dikebumikan di Kampung Bakar Bata, Sungai Petani.
Semalam media melaporkan, jenazah Hazlami tiba di Teaching Hospital, Kathmandu kira-kira jam 2 petang (waktu tempatan), selepas diterbangkan dari Lukla bagi pemeriksaan polis.
Ahli keluarga yang hadir terdiri daripada isteri arwah, Nur Farhah Busyra Ismail, Ahmad Nizam Damiri (bapa), Nur Liyana (kakak) dan Muhammad Mustapa Kamarudin (sepupu).