Oleh : Rusyaidi Hafiz Shahid
KUALA LUMPUR: Jenazah legenda olahraga Allahyarham Hanapiah Nasir yang meninggal dunia petang semalam selamat dikebumikan pada jam 10 pagi hari ini di Tanah Perkuburan Jalan Ampang.
Jenazah sebelum itu dikafan dan disembahyangkan di Masjid Kampung Baru.
Terdahulu media melaporkan, Allahyarham Hanapiah Nasir, 66, menghembuskan nafas terakhir pada jam 6 petang semalam ekoran kegagalan organ berfungsi akibat leukemia di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Semasa hayatnya, Allahyarham telah mengharumkan nama negara apabila banyak menyumbang keringat kepada sukan olahraga, meraih empat emas, masing-masing dalam acara lompat jauh (1985), 110 meter (m) lari berpagar (1985) dan decathlon (1983 dan 1981) di temasya Sukan SEA.
Pada 1985, Allahyarham memecahkan rekod Sukan SEA dalam acara lompat jauh dengan lompatan sejauh 7.59m serta 110m lari berpagar.
Allahyarham turut meraih perak dalam acara 4x100m bersama Rabuan Pit, Sivaling Govindasamy dan Nordin Jadi.
Selepas bersara, Allahyarham terus bergiat dalam arena olahraga dan pernah menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih negara dari 2005 hingga ke 2009.
Allahyarham memiliki dua orang anak, seorang lelaki dan seorang perempuan.