Tumpuan :
Nasional

Jenazah Fiza Kamarudin selamat dikebumikan

Mohd Roshdi (kiri) bersama ibu mentua, Siti Nooriah dan dua cahaya matanya, Riyadh dan Raisya di pusara Allahyarham Fiza. -Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Jenazah wartawan Siti Nor Hafiza Kamarudin atau Fiza Kamarudin, 40, yang meninggal dunia di Hospital Charing Cross London, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Selasih, Batu Caves kira-kira jam 12.50 tengah hari ini.

Lebih 200 orang hadir mengiringi jenazah Allahyarham ke persemadian terakhirnya termasuk dalam kalangan ahli keluarga, saudara mara, pihak media dan rakan terdekat.

Jenazah Allahyarham tiba di pekarangan Masjid Jamek Kg Baru, di sini kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Terdahulu, industri kewartawanan tanah air dikejutkan dengan berita pemergian Allahyarham yang bertugas sebagai Editor portal Boom Malaysia dan Jurnal Malaysia milik KRU Media di London akibat pendarahan otak.

Allahyarham dilaporkan pengsan di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London, sewaktu menunggu penerbangan pulang ke Malaysia selepas bercuti selama dua minggu sejak pertengahan Disember lalu.

Allahyarham adalah bekas pesakit kanser payudara, namun sel barah berkenaan dikatakan kembali aktif selepas enam tahun disahkan bebas daripada penyakit tersebut.

Lebih memilukan, percutian ke London itu merupakan hajat terakhir Allahyarham bagi menunaikan janji bersama anak-anaknya iaitu Riyadh Haziq, 10, dan Raisya Hannah, 8.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini