Oleh Norshahril Md Yusup
KUALA KEDAH: Jenazah bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Syed Razak Syed Zain selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Nurul Ehsan Kuala Kedah kira-kira jam 7.30 petang.
Jenazah Allahyarham sebelum itu disolatkan di Masjid Nurul Ehsan yang terletak berhadapan tanah perkuburan itu.
Allahyarham, 79 tahun menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 11 pagi tadi di kediaman keluarganya di Sungai Petani akibat masalah kesihatan yang dikhabarkan merosot sejak tiga hari lalu.
Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Seri Sharifah Hamidah Syed Abdul Hamid
Lebih seratus ahli keluarga terdekat serta sahabat handai Allahyarham memenuhi kawasan Perkarangan Masjid dan Tanah Perkuburan bagi memberikan penghormatan kepada bekas Menteri Besar Kedah itu.
Syed Razak adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan yang kemudian menjadi Menteri Besar Kedah kelapan bermula 1999 hingga 2005.
Beliau meletak jawatan sebagai Menteri Besar ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, akibat masalah kesihatan dan digantikan bekas Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid.