Tumpuan :
Nasional

Jenazah bekas MB Perlis selamat dikebumikan

Foto Jabatan Penerangan Negeri Perlis

ARAU: Jenazah bekas Menteri Besar Perlis Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Lama Arau di sini kira-kira 2.30 petang tadi.

Jenazah Allahyarham sebelum itu disolatkan di Masjid Negeri yang terletak berhadapan tanah perkuburan berkenaan, selepas solat Jumaat.

Abdul Hamid menghembuskan nafas terakhir pada 3.15 petang semalam di kediamannya di sini akibat sakit buah pinggang sejak lima tahun lepas.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Elham Hamid Abdullah dan lima orang anak iaitu tiga perempuan dan dua lelaki.

Anak keempat Allahyarham, Sharif Pawanteh Abdul Hamid, 39, berkata bapanya merupakan seorang yang sabar dan baik dengan semua orang menyebabkan beliau disayangi serta dihormati oleh semua lapisan masyarakat.

“Antara pesanan Allahyarham agar kami lima beradik sentiasa membantu orang ramai yang memerlukan bantuan tanpa mengira siapa mereka walaupun bukan daripada ahli keluarga.

“Ayah juga berpesan sentiasa ingat bahawa setiap rezeki yang Allah berikan kepada kita terdapat tanggungjawab yang perlu ditunaikan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Allahyarham menyandang jawatan Menteri Besar Perlis dari 1986 hingga 1995 sebelum digantikan oleh Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis Perbandaran Kangar pada 1981 sebelum memenangi kerusi Parlimen Arau pada Pilihan Raya Umum 1982 dan berpindah kawasan dengan menjadi Ahli Parlimen Kangar pada 1999 hingga 2003.

Pada Julai 2003, Abdul Hamid meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Kangar untuk dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara hingga 2009. -BERNAMA

Loading...
Terkini