KUALA LUMPUR: Jenazah Allahyarham Badrul Muhayat selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves, di sini, pada jam kira-kira 9.35 pagi tadi.
Sebelum itu, jenazah disembahyangkan di Masjid Al-Hidayah, Sentul, sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves.
Antara rakan artis yang mengiringi perjalanan terakhir Allahyarham termasuklah Datuk Riezman Khuzaimi, Azhar Sulaiman, Zed Zaidi, Aris Ariwatan, Mubarak Majid, Didie Alias, Salwa Abdul Rahman, Esma Daniel dan ramai lagi.
Allahyarham Badrul, 55, dilaporkan meninggal dunia dalam tidur di sebuah inap desa di Pulau Pinang, pagi semalam.
Pemergian pelakon filem Harry Boy dan Azizah The Legend itu disedari isterinya, Norhayati Zulkapli kira-kira jam 9 pagi selepas cuba mengejutkan arwah untuk berniaga di Karnival Uda, Jalan Baru Perai.
Allahyarham Badrul meninggalkan seorang balu, Norhayati yang baru dinikahi pada 18 April lalu serta dua cahaya mata, hasil perkahwinan terdahulu masing-masing berusia 14 dan 16 tahun.