KUALA LUMPUR: Jenazah Badrul Muhayat, 55, yang meninggal dunia dalam tidur di sebuah homestay di Pulau Pinang, hari ini, akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Johor Bahru.
“Jenazah arwah akan dibawa pulang ke Johor Bahru. Maaf, saya tidak boleh bercakap panjang kerana sedang membuat laporan di balai polis,” kata isterinya, Norhayati Zulkapli ketika dihubungi.
Pemergian pelakon filem Harry Boy dan Azizah The Legend itu disedari isterinya kira-kira jam 9 pagi selepas cuba mengejutkan Allahyarham untuk berniaga di Karnival Uda, Jalan Baru Perai, Pulau Pinang.
Sementara itu, pelakon Anne Abdullah yang mendapat berita pemergian Badrul melalui teman artis, Aida Aris yang berada di tempat kejadian.
“Saya difahamkan isteri arwah mengejutnya untuk bersiap-siap ke tapak karnival kerana berniaga di sana.
“Tapi, arwah tidak memberikan respon dan badannya juga didapati sejuk. Jadi, mereka memanggil ambulans dan Badrul disahkan sudah meninggal dunia,” katanya
Menurut Anne, keluarga Badrul sudah pun dimaklumkan mengenai pemergiannya dan meminta agar jenazah dibawa pulang ke Johor Bahru untuk dikebumikan.
Badrul meninggalkan seorang balu, Norhayati yang baharu dinikahi pada 18 April lalu.
Allahyarham turut meninggalkan dua cahaya mata, hasil perkahwinannya terdahulu masing-masing berusia 14 dan 16 tahun.