comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Jenazah Awang Askandar dijangka dibawa turun esok

 

PUTRAJAYA: Jenazah pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023), Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, dijangka dibawa ke kawasan selamat pagi esok sebelum di bawa ke Kathmandu, Nepal menggunakan bantuan helikopter.

Ketua Misi ME2023, Azim Afif Ishak, 33, berkata, ketika ini enam malim gunung sudah berada di kem empat bagi urusan membawa turun jenazah.

Menurutnya, pagi esok jenazah akan dibawa ke kawasan selamat bagi memudahkan helikopter melakukan ‘long line rescue’.

Katanya, jenazah kemudian ke Kathmandu untuk proses bedah siasat dan urusan seterusnya.

Allahyarham Awang Askandar Ampuan Yaacub. – FOTO: Facebook

“Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu juga sedang berhubung rapat dengan saya bagi urusan penerimaan jenazah itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azim berkata, ketika ini cuaca agak berawan dan bersalji serta diharap bertambah baik esok sekali gus memudahkan urusan membawa turun jenazah.

Mengulas mengenai misi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi pendaki, Muhammad Hawari Hashim, 33, beliau berkata, misi itu akan dikendalikan seorang lagi pendaki ME2023, Tiong Ling Yang.

Menurutnya, ketika ini terdapat dua SAR iaitu membawa turun jenazah Awang Askandar dan misi mencari dan menyelamat Muhammad Hawari.

Katanya, beliau akan mengendalikan urusan membawa jenazah Awang Askandar keluar manakala Ling Yang menguruskan SAR Hawari dibantu malim gunung.

Sementara itu, media tempatan Nepal, The Himalayan Times (THT) hari ini melaporkan, seorang lagi pendaki disahkan maut menjadikan 10 kes kematian dilaporkan ketika ini.

Pengarah Urusan Asian Trekking, Dawa Steven Sherpa dilaporkan berkata, pendaki yang maut adalah Jason Bernard Kennison, 40, berasal dari Australia.

THT turut melaporkan Muhammad Hawari antara dua pendaki yang masih hilang termasuk seorang pendaki Singapura dikenali sebagai Shrinivas Sainis Dattatraya.

Loading...
Terkini