comscore
Tumpuan :
Nasional

Jenazah anggota bomba mati lemas dikebumikan dengan penuh istiadat kebombaan

BUTTERWORTH: Jenazah anggota bomba yang lemas ketika menyelenggara bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Jeti Pangkalan Marin di Mak Mandin, selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Masjid Jamek Pekan Darat, di sini malam tadi.

Jenazah Allahyarham Mohd Izwan Illias, anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dikebumikan dengan penuh istiadat kebombaan.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir adalah Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad.

Kematian Mohd Izwan diklasifikasikan sebagai terkorban ketika menjalankan tugas.

Majlis istiadat penghormatan terakhir diadakan sebagai tanda menghargai komitmen Allahyarham sepanjang berkhidmat dalam pasukan JBPM.

Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan dengan kehadiran lima anak Allahyarham berusia antara empat dan 16 tahun, ahli keluarga serta rakan setugas.

Terdahulu, jasad Mohd Izwan ditemui jam 5.32 petang semalam, selepas operasi mencari selama 19 jam dilakukan pasukan bomba.

Media sebelum ini melaporkan mangsa terjatuh ke dalam Sungai Perai semasa melakukan kerja penyelenggaraan bot kira-kira jam 10.10 malam Khamis.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini