Tumpuan :
Nasional

Jenazah Allayarham Ishsam dibawa pulang ke Ipoh malam ini

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow hadir menziarahi jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang. – Foto NSTP

Oleh: Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Jenazah Allayarham Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin akan dibawa pulang ke Ipoh pada malam ini (Sabtu) untuk dikebumikan esok.

Setiausaha Eksekutif Umno dan Barisan Nasional Perak, Datuk Mohd Salleh Mat Disa berkata jenazah akan dibawa pulang selepas proses bedah siasat selesai malam nanti.

“Jenazah akan dimandi dan dikapan di Ipoh dan pengebumian dijangka disempurnakan di Tanah Perkuburan Islam Rapat Setia, Ipoh pagi esok,” katanya ketika ditemui di luar Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) malam tadi.

Terdahulu, beliau mengiringi Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang hadir menziarahi keluarga Allayarham.

Isteri Allayarham, Rozlita Abdullah, 55, dan anak, Muhammad Iszul Imadi, 30, tiba di HPP dari Ipoh petang tadi.

Pasangan itu mempunyai empat anak.

Selain ahli keluarga, pemimpin Umno Perak dan Pulau Pinang, termasuk Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Shaik Hussein Mydin dan setiausaha, Datuk Shah Headan Ayoob Shah turut hadir.

Terdahulu, Allayarham rebah selepas mengambil bahagian dalam kejohanan bola sepak di Stadium Bandaraya, di sini, kira-kira jam 5.20 petang.

Beliau dibawa ke Jabatan Kecemasan HPP pada jam 5.40 petang, namun disahkan meninggal dunia pada jam 6.28 petang.

Allayarham memenangi kerusi Dun Ayer Kuning buat penggal pertama dalam Pilihan Raya Umum ke-15 dengan majoriti 2,213 undi.

Beliau merupakan pemain bola sepak negeri Perak dan Negeri Sembilan pada tahun 1980 dan 90’an dan pernah mewakili skuad kebangsaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini