ALOR SETAR: Jenazah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub dibawa ke Masjid Al Badar, Jalan Langgar, di sini, untuk disolatkan.
Jenazah kemudian dibawa ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) dan dijadual diterbangkan ke Johor dengan pesawat khas jam 1 pagi ini.
Artikel berkaitan: Jenazah Salahuddin dibawa pulang ke Johor dengan pesawat khas – Anthony Loke
@buletintv3 Jenazah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub dibawa ke Masjid Al Badar, Jalan Langgar, di sini, untuk disolatkan. Jenazah kemudian dibawa ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) dan dijadual diterbangkan ke Johor dengan pesawat khas jam 1 pagi ini. BuletinTV3 BeritaDiTiktok KPDN Salahuddin SalahuddinAyub Kedah MajlisPengebumian
Artikel berkaitan: Jenazah Salahuddin akan dihantar pulang ke rumah ibunya
Allahyarham Salahuddin meninggal dunia jam 9.23 malam tadi di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
Setakat tengah malam tadi, lebih 200 orang termasuk pemimpin politik, berada di Jabatan Forensik HSB.
Antara yang kelihatan menziarahi ialah Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli; EXCO Kesihatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman; dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar yang juga Naib Presiden AMANAH.
Selain itu, Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah; Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari; Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden; Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman; dan Pengerusi AMANAH Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh.
Sementara itu Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu ketika ditemui, berkata Allahyarham seorang yang aktif serta berusaha keras untuk menangani isu kos sara hidup rakyat di negara ini, termasuk melalui inisiatif RAHMAH.
“Allahyarham adalah seorang yang gigih dan sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, arwah aktif terutama bagi memastikan harga barang tidak naik.
“Arwah juga begitu keras berusaha, termasuk bertemu pihak syarikat dan majikan.
Ramai mengakuinya termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan Allahyarham adalah antara menteri yang gigih menjalankan tugas,” katanya.
Mohamad berkata, persahabatan beliau dengan Salahuddin bermula ketika dalam Pemuda PAS sejak berusia 20-an lagi.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata, pemergian Salahuddin secara mengejut sudah pasti meninggalkan kesan kepada dirinya.
Malah, katanya, beliau sempat meminta anak-anak Salahuddin untuk berbisik ke telinga Allahyarham dan memohon maaf sekiranya ada salah dan silap.
“Selepas ini, jenazah arwah akan diterbangkan terus ke rumah ibunya di Tanjung Piai, Pontian, Johor, dengan penerbangan khas yang dijangka bertolak jam 1 pagi nanti,” katanya.