Tumpuan :
Nasional

Jenazah Allahyarham Nurul Asikin Lan selamat dikebumikan

Oleh Kadir Edison

KUCHING: Jenazah Allahyarham Nurul Asikin Lan selamat dikebumikan pada 1.00 tengah hari di Tanah Perkuburan Islam Samariang, Petra Jaya Kuching hari ini.

Van yang membawa jenazah Nurul Asikin itu tiba di tanah perkuburan berkenaan sekitar jam 12.30 tengah hari selepas dibawa dari Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak.

Pengebumian Nurul Asikin, 26, dalam keadaan cuaca tenang dan sedikit mendung itu turut dihadiri hampir 200 ahli keluarga mangsa, rakan dan penduduk dari Kawasan penempatan semula Darul Hana, Kuching.

Bapa saudara Mangsa, Mohamad Nor Bohari berkata anak saudaranya itu merupakan seorang yang sentiasa ceria dan rapat dengan semua saudaranya selain seorang yang mendengar kata orang tua.

“ Allahyarhamah ini sememangnya bukan jenis orang yang suka bersosial dan dia sentiasa ceria dan gembira.

“Ketika dia keluar pun dia tiada perselisihan faham dengan sesiapa baik adik beradiknya ataupun kedua ibu bapanya dan bila dia bergaul dengan sesiapapun tujuannya hanya mahu berkawan sahaja,” katanya.

Sementara itu datuk mangsa, Buang Kantok yang menjadi orang terakhir bersama mangsa sebelum dilaporkan hilang berkata cucunya dan suspek terbabit pernah bertemu sebanyak tiga kali sebelum mangsa dilapor hilang pada 5 Disember lalu.

Katanya, sepanjang pertermuan dengan itu, mangsa memberitahu suspek terbabit kurang bercakap sekaligus menimbulkan rasa curiga kalangan keluarga mangsa.

“ Dia (suspek) kurang sangat bercakap, kebiasaanya kalau pasangan bercinta dia akan tanya macam soalan seperti berapa umur, suka atau tidak berkawan dengan kita dan sebagainya.

“Namun kata Allahyarham, suspek ini banyak diam sehingga dia tanya emak saudaranya kenapa lelaki (suspek) ini lebih banyak berdiam, pelik pulak katanya.

“Kali pertama keluar agak diam, kali kedua dan ketiga pun sama sehinggalah kejadian Allahyarham dilaporkan hilang dan kejadian ini berlaku,” katanya.

Pada 15 Disember lalu, polis menemui satu mayat yang reput berdekatan Jalan Setia Raja yang dikaitan dengan kehilangan Nurul Asikin Lan selepas ditunjukan lokasinya oleh suspek kes berkenaan.

Bagaimanapun, keadaan mayat mangsa yang sudah reput menyebabkan ahli keluarga mangsa sukar untuk mengecamnya sekaligus menjurus kepada proses pengecaman melalui Ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) dilakukan dan kemudiannya disahkan sebagai Nurul Asikin semalam.

Laporan kehilangan Nurul Asikin dibuat oleh ahli keluarganya pada 5 Disember lalu selepas dia tidak pulang ke rumahnya dan usaha untuk menghubungi juga buntu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini