comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Jenazah Allahyarham Jaafar Onn selamat dikebumi

MUAR: Jenazah pelakon dan pengacara Allahyarham Jaafar Onn, 73, selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam, Masjid Jamek Al-Firdaus, Tanjung Gading, di sini, sebentar tadi.

Sebelum itu, jenazah dibawa ke masjid terbabit untuk disolatkan yang turut disertai lebih 100 orang termasuk keluarga terdekat serta kariah.

Jenazah Allahyarham Jaafar Onn selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Masjid Jamek Al-Firdaus, Tanjung Gading,sebentar tadi. FOTO: NSTP

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 11.30 pagi tadi di Hospital Sultan Idris, Serdang.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir adalah anak angkatnya, Mohd Hanif Mohd Hashim dan Pengerusi Persatuan Karyawan Malaysia Negeri Melaka dan ahli jawatankuasa Karyawan Melaka, Datuk Zainal Abu Bakar.

Selain itu, hadir sama kakak Allahyarham, Puteh Awang dengan bacaan talkin diketuai Shaifizal Jamal Abdul Nasir, Imam Masjid Al- Firdaus.

Sementara itu, Datuk Zainal berkata, beliau mengenali Allahyarham sejak 1997 dan kali terakhir bertemu pada Khamis lalu.

Katanya, Karyawan turut memberi sumbangan RM1,000 kepada 50 artis termasuk Allahyarham.

“Pada masa itu tak nampak sangat arwah sakit kerana dia kelihatan ceria, cuma semalam ahli jawatankuasa pusat Karyawan memaklumkan arwah dimasukkan ke Hospital Sultan Idris.

“Keadaannya ketika itu sangat kritikal dan hari ini saya menerima berita dia sudah tiada.

“Saya rasa kita kehilangan besar dalam industri seni kerana kita perhatikan artis seperti Allahyarham tak ramai. Arwah serba boleh baik sebagai chef, penyanyi, pelakon dan juga pelawak,” katanya.

Jelasnya lagi, pihaknya sedang mengatur untuk menyalurkan sumbangan kepada Allahyarham dalam tempoh terdekat namun tidak kesampaian.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini