KOTA BHARU: Jenazah tiga beranak yang maut dalam kemalangan di Kilometer 53, Kampung Sungai Lerek, Jalan Persekutuan Kuala Terengganu – Kota Bharu awal pagi, hari ini, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kubur Maras, Langgar di sini.
Jenazah Kamarudin Ibrahim, 55, Maimumah Mat Isa, 54, dan anak mereka Nur Ardiena Kamarudin, 30, dikebumikan dalam satu liang lahad, pada jam 9.40 malam.
Lebih 200 ahli keluarga dan kenalan hadir bagi memberi penghormatan terakhir.
Terdahulu, jenazah tiga beranak itu dikafankan di Hospital Setiu dan kemudiannya dibawa pulang ke rumah mereka di Lorong Merican, Telipot, sebelum disembahyangkan di Masjid Sultan Muhammad II Telipot selepas solat Isyak.
Sementara itu, Mohd Shahidin Ibrahim, 31, adik bongsu kepada Allahyarham Kamarudin berkata, dia tidak sempat berjumpa dengan arwah abangnya sebelum mereka sekeluarga bertolak ke Putrajaya pada Khamis lalu untuk menghadiri majlis konvokesyen, Nur Azwa Shamimi Kamarudin, 21.
“Sebelum ke Putrajaya, arwah abang bersama isteri dan dua anaknya singgah di rumah anak ketiga mereka, Ahmad Kamarul Syafiq Kamarudin, 26, yang tinggal di Jempol, Negeri Sembilan.
“Bagaimanapun, sebaik tiba di sana, arwah abang menghubungi saya untuk bertanyakan nombor telefon rakan kepada Ahmad Kamarul Syafiq disebabkan pada ketika itu tidak dapat menghubungi anaknya.
“Itulah kali terakhir saya bercakap dengan arwah abang sehinggalah menerima berita duka kemalangan menimpa mereka sekeluarga pagi tadi,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kubur Maras.
Katanya, dia bersama anak-anak arwah abangnya kemudian bergegas ke Hospital Setiu untuk proses pengecaman mayat.
“Kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku dan menyifatkan kejadian itu adalah ketentuan takdir.
Media hari ini melaporkan, tiga beranak maut manakala seorang lagi parah selepas kenderaan dinaiki bertembung dengan sebuah pacuan empat awal pagi tadi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.