Oleh Aslina Abu Bakar
SHAH ALAM: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan mengadakan pertemuan dengan penyedia platform di media sosial bertujuan mengekang masalah jenayah dan penyalahgunaan menyebaran maklumat yang menjadi isu keselamatan awam.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, buat permulaan pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pihak Telegram memandangkan platform itu menjadi pilihan scammer melakukan aktiviti jenayah siber.
“Isu keselamatan awam adalah isu yang kita tidak akan berkompromi..maka kita akan memantau keadaan, sekiranya perlu, kita akan panggil penyedia-penyedia perkhidmatan sekiranya berlaku pelanggaran pada undang-undang sedia ada”
“Memang kita lihat Telegram ni agak bermasalah macam-macam maklumat ada di masukkan di situ, aktiviti scammer banyak di situ, jadi kita perlu teliti dan saya rasa nak tak nak pihak kementerian perlu panggil pihak telegram untuk mengadakan perbincangan dalam usaha pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang perlu,” katanya.
Menurutnya, kata dua akan diberikan kepada pihak yang ingkar dengan undang undang yang ditetapkan.
Katanya, buat masa ini kementerian mendapat kerjasama baik daripada penyedia platform namun perbincangan dua mata akan diadakan bagi memastikan semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam memastikan keselamatan rakyat di media sosial dibela.