KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan lebih 20,000 kes jenayah siber tahun lalu membabitkan kerugian berjumlah RM560 juta, kata Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Seri Awang Adek Hussin.
Beliau berkata, sepanjang tahun ini, beberapa serangan siber berprofil tinggi termasuk yang dihadapi Ipay88 dan terbaharu di AirAsia, memberikan gambaran suram terhadap keadaan ancaman siber semasa di negara ini.
“Untuk melindungi pelabur dan pasaran, kita tidak boleh leka dengan keselamatan siber. Di samping itu, kepentingannya kepada keselamatan negara tidak boleh diabaikan.
“Sebagai contoh, pada Mei lalu, sekumpulan penggodam mendakwa mencuri butiran peribadi 22.5 juta rakyat Malaysia daripada myIDENTITI API, pangkalan data yang membolehkan institusi kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Negara mengakses maklumat mengenai warganegara Malaysia.
“Gangguan digital, pelanggaran data dan kerugian sedemikian hampir pasti akan mengakibatkan implikasi kewangan dan reputasi untuk firma masing-masing,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutup Simulasi Siber Pasaran Modal 2022, hari ini.
Awang Adek berkata, dengan jumlah ancaman siber meningkat dan semakin canggih, teknologi dilihat menjadi lebih penting, sekali gus menyaksikan keselamatan siber memerlukan pendekatan holistik yang menangani kedua-dua risiko siber dan teknologi.
“Justeru, SC sedang berusaha untuk mengukuhkan keupayaan keseluruhan pasaran modal dan keupayaan untuk menahan serangan,” katanya.
Beliau menjelaskan, daya tahan siber adalah penting untuk semua peserta pasaran modal dan ia menjadi keutamaan penting kepada SC.
Sehubungan itu, katanya, Pelan Induk Pasaran Modal 3 menggariskan beberapa inisiatif strategik yang perlu dilaksanakan.
“Pertama, mengukuhkan keupayaan perisikan SC dan industri untuk meningkatkan kesediaan terhadap potensi pelanggaran dan ancaman yang akan berlaku.
“Kedua, membangunkan pendekatan untuk memperkukuh keupayaan pertahanan siber industri dan ketiga pula ialah, membangunkan rangka kerja untuk mengawal risiko teknologi secara lebih holistik,” katanya.
Awang Adek berkata, SC juga berhasrat untuk mengeluarkan Rangka Kerja Pengawalseliaan baharu mengenai Pengurusan Risiko Teknologi menjelang awal tahun depan.
“Rangka kerja ini akan meningkatkan keupayaan pasaran modal dengan ketara untuk mengesan dan mengurangkan risiko yang hadir dengan teknologi baharu,” katanya.