comscore
Tumpuan :
Nasional

Jenayah seksual meningkat, kes rogol tertinggi – DOSM

KUALA LUMPUR: Jumlah kes jenayah seksual meningkat 2.9 peratus dengan 3,303 kes pada 2022 berbanding 3,209 kes pada 2021, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kes rogol mencatat peratus peningkatan tertinggi iaitu 9.6 peratus pada 2022.

“Bagaimanapun, kes seks luar tabii, gangguan seksual dan cabul kehormatan masing-masing menunjukkan penurunan sebanyak 10.4 peratus, 5.7 peratus dan 0.5 peratus,” katanya dalam kenyataan mengenai Statistik Jenayah Malaysia 2023.

Mohd Uzir berkata, jenayah indeks dan jenayah komersial, masing-masing menurun sebanyak 4.1 peratus dan 3.0 peratus kepada 50,813 kes dan 30,536 kes pada 2022.

Namun, jenayah siber meningkat 44.3 peratus kepada 577 kes daripada 400 kes bagi tempoh sama.

“Jenayah indeks merangkumi jenayah kekerasan dan jenayah harta benda.

“Kedua-dua jenayah ini masing-masing menunjukkan penurunan 10.0 peratus dan 2.4 peratus kepada 10,348 kes dan 40,465 kes pada 2022,” katanya.

Tambahnya, kesemua jenis kesalahan di bawah jenayah komersial pada 2022 yang dilaporkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menurun kecuali berkaitan wang palsu dan jenayah siber.

“Kesalahan tipu merekodkan bilangan tertinggi iaitu 27,247 kes (89.2%) diikuti pecah amanah (911 kes; 3.0%) dan kesalahan di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (832 kes; 2.7%),” jelasnya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini