
Oleh: Aliza Shah
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan notis terhadap sebuah jenama kosmetik popular dari China kerana disyaki melanggar undang-undang dalam kempen pemasarannya.
Ia selepas syarikat terbabit dalam beberapa siri iklan di media sosial, mendakwa produknya boleh dimakan.
KKM memulakan proses untuk mengeluarkan produk syarikat itu dari pasaran.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memberitahu New Straits Times, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) mengeluarkan notis kepada syarikat itu untuk memberikan penjelasan.
Katanya, lesen penjualan produk itu mungkin akan dibatalkan kerana iklan mendakwa larutan pengelupasan kulit berwarna merah seperti darah mengandungi asid yang sepatutnya digunakan pada wajah, boleh dimakan.
Notis kepada syarikat itu dikeluarkan pada 31 Januari.
Dr Dzulkefly berkata, NPRA akan membatalkan notifikasi produk itu jika tidak menerima maklum balas daripada syarikat dalam tempoh 14 hari.
Salah satu iklan yang mencetuskan kontroversi ialah video berdurasi 26 saat yang dimuat naik ke media sosial menunjukkan seorang bakat tempatan ‘meminum’ larutan itu.
Dalam video itu, satu suara bertanya mengapa wanita itu melakukannya dan dia membalas: “So what?”
Dr Dzulkefly berkata, iklan itu bukan saja mengelirukan, tetapi boleh menjejaskan kesihatan pengguna.
“Hasil semakan lanjut oleh NPRA mendapati produk kosmetik ini diiklankan di Facebook (FB) dengan dakwaan melebihi definisi kosmetik khususnya untuk kegunaan oral atau ditelan.
“Dakwaan ini bercanggah dengan keperluan dalam Garis Panduan Tuntutan Kosmetik dan Garis Panduan Pengiklanan Kosmetik,” katanya.
Semakan di laman web NPRA menunjukkan produk itu mempunyai dua nombor notifikasi yang didaftarkan di bawah dua syarikat berbeza.
Tidak jelas sama ada halaman FB yang menyiarkan iklan berkenaan dimiliki oleh cabang jenama itu di Malaysia.
Selain itu, satu lagi iklan serupa dimuat naik di TikTok pada 27 Januari.
Sebuah lagi video berdurasi 25 saat memaparkan seorang lelaki yang memakan sesudu krim pelindung matahari jenama itu terus dari pembungkusan.
Dr Dzulkefly berkata, video iklan berdurasi 25 saat itu juga melanggar undang-undang dan surat cadangan penarikan balik produk pelindung matahari akan dihantar kepada pemegang notifikasi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.