TUMPAT: Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia (MOTAC) sedia jadi pemudah cara bagi membantu isu jemaah terkandas berikutan syarikat pengendali umrah menunda penerbangan mereka ke Tanah Suci Makkah.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MOTAC, Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, pertemuan sudah dibuat dengan sebahagian mangsa yang hadir ke pejabat kementerian pada Jumaat lepas.
“Semua keperluan mereka (mangsa) untuk menyelesaikan isu terbabit, kami akan jadi pemudah cara sama ada antara mereka dengan syarikat pengendali umrah yang lama serta baru.
“Pertemuan sudah dibuat dengan sebahagian mangsa datang ke pejabat kementerian pada Jumaat lalu dan kita adakan sesi libat urus,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan kira-kira 300 jemaah umrah terkandas apabila penerbangan mereka ke Tanah Suci ditunda syarikat pengendali umrah itu.
Susulan itu, Pengarah Urusan Syarikat Umrah Hejira Travel & Tours Holding Sdn Bhd membuat permohonan maaf secara terbuka berikutan insiden itu dan menawarkan tiga penyelesaian termasuk pemulangan 100 peratus pengembalian wang jemaah.
Pihak polis menjalankan siasatan terhadap pasangan suami isteri yang juga pemilik syarikat pengendali umrah itu berdasarkan tujuh laporan diterima membabitkan kesalahan penipuan pakej umrah dengan keseluruhan kerugian dianggarkan bernilai RM2.1 juta yang dialami 379 mangsa.
Mengulas lanjut, Shaharuddin meminta semua pihak yang terbabit agar bertenang dan menunggu laporan siasatan pihak polis.
Dalam masa yang sama, beliau menasihatkan orang ramai berhati-hati dan membuat pemeriksaan dengan teliti terhadap syarikat pengendali umrah terutama yang menawarkan pakej pada harga murah.
“Kena berhati-hati dan buat pemeriksaan teliti dari segi kemampuan syarikat itu sama ada mampu untuk kendalikan pakej yang ditawarkan.
“Perbandingan harga pun kena buat antara syarikat lain, jangan ambil yang terlalu rendah atau jauh lebih murah kerana itu antara risiko dan mempunyai unsur penipuan,” katanya.
Terdahulu beliau diiringi Pengarah Pejabat MOTAC negeri Kelantan, Mohd Aidil Afizie Daud hadir melancarkan Skuad Ihsan Madani MOTAC di Kampung Pantai Suri, di sini membabitkan 150 sukarelawan daripada MOTAC, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kraftangan Malaysia serta penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.