Tumpuan :
Nasional

Jemaah tidak cukup, diganti solat Zohor

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

HULU TERENGGANU: Penduduk Kampung Paloh Nyior dan Kampung Pelam tidak dapat menunaikan solat Jumaat berikutan jemaah tidak cukup kariah.

Banjir menggenangi dua kampung tersebut sehingga jalan ke masjid juga dinaiki air sehingga dua meter.

Ada juga penduduk memberanikan diri meredah banjir sama ada berjalan kaki dan ada juga yang menggunakan sampan ke Masjid Bukit Tadak.

Walaupun terpaksa menaiki sampan dan berpayung di dalam hujan lebat, penduduk nekad meredah banjir sedalam kira-kira 0.5 meter.

Bilal masjid kampung berkenaan, Mohd Zulkifli Harun, 56, berkata berikutan jemaah kurang dari 40 orang, mereka terpaksa menunaikan solat Zohor.

“Masjid ini digunakan penduduk di tiga kampung iaitu Paloh Nyior, Pelam dan Tanah Lot Bukit Tadok.

“Disebabkan jalan ditenggelami air akibat banjir, penduduk di dua kampung berkenaan iaitu Paloh Nyior dan Pelam tidak dapat datang berikutan kedua-dua kampung berkenaan ditenggelami banjir.

“Yang ada hari ini hanya jemaah dari kampung ini sahaja. Ramai yang tidak dapat kerana paras air di kawasan kediaman mereka tinggi,” katanya yang mengimamkan solat zuhur berikutan Imam masjid kampung berkenaan, Mohd Salim Yahya tidak dapat ke masjid kerana banjir.

Kampung berkenaan setiap tahun ditenggelami banjir menyebabkan fenomena itu sudah sinonim buat penduduk.

Sementara itu, Jurugambar Berita Harian, Ghazali Kori yang berada di lokasi turut sama dengan jemaah lain menunaikan solat Zohor ketika membuat tinjauan di masjid berkenaan.

“Ini adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan, setiap kali banjir banyak perkara yang tidak diduga berlaku.

“Bagaimanapun, banjir di kampung ini masih terkawal dan pihak berkuasa sentiasa membuat pemantauan di sini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini