Tumpuan :
Nasional

Jemaah Menteri alumni UM disaran sumbang RM10,000 kepada UMEF – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Makan Malam Alumni Universiti Malaya di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya. – FOTO: NSTP

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri yang merupakan alumni Universiti Malaya (UM) disaran menyumbang dana sebanyak RM10,000 untuk Tabung University Malaya Endowment Fund (UMEF).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mencadangkan alumni universiti itu yang berpendapatan melebihi RM10,000 untuk menghulurkan dana sebanyak RM1,000 kepada tabung itu.

Jelasnya, usaha itu sebagai langkah untuk pembangunan masa hadapan UM tanpa memberi tekanan kewangan kepada kerajaan.

“Keseluruhan ini saya percaya kita boleh melepasi angka setengah bilion supaya tidak membebankan pemerintah dengan dana yang besar.

“Saya tidak mahu melepaskan tanggungjawab sebagai pemerintah, tetapi seperti yang kita tahu ada kekangan dan keterbatasan kerana keadaan ekonomi tidak diurus dengan bertanggungjawab.

“Negara lebih terkenal dengan kelemahan tatakelola dan rasuah sehingga beban hutang mencecah RM 1.5 trillion. Pengurusan dana itu perlu lebih cekap dan sebahagian besar yang membantu mengurus rencana ekonomi itu adalah alumni UM,” katanya dalam ucapan sempena Malam Alumni Universiti Malaya.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang merupakan Canselor UM, dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut berkenan mencemar duli menghadiri majlis yang diadakan julung kali dalam tempoh sedekad ini.

Dihadiri lebih 2,000 alumni termasuk Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam, dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, acara gilang-gemilang itu bakal menjadi pemangkin hubungan yang lebih kukuh antara alumni dan universiti sekali gus mencetuskan peluang rangkaian strategik serta kolaborasi berimpak tinggi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini